Panduan Waktu Solat Dhuha, Niat Beserta Bacaan Doa Selepas Solat

Inginkan rezeki lebih?

Ingin dipermudahkan segala urusan sepanjang hari?

Jom sama-sama amalkan solat Dhuha.

Sholat sunat Dhuha sama seperti solat sunat lain. Cuma berbeza dari segi bacaan niat, doa dan waktu dikerjakan.

Ia antara solat sunat yang mempunyai banyak kelebihan dan manfaat dalam menempuh kehidupan seharian.

Ia juga antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullah SAW sendiri.

Banyak hadis yang menggalakkan dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullah SAW telah berwasiat kepadaku TIGA perkara, aku tidak meninggalkannya iaitu supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat Awwabin dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”. (hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain, Rasullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota sesorang kamu bersedekah, tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha”. (hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum mengerjakan solat sunat Dhuha adalah sunat Muakkadah, iaitu amalan sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam (1).

Ia boleh dilakukan dari 2 rakaat sehinggalah 12 rakaat.

Ada menurut sebahagian ulama’, jumlah rakaat mengerjakannya tidak terbatas dan tidak ada dalil sahih yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang iriwayatkan oleh  Asiyah bermaksud:

“Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.” (hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Waktu Solat Sunat Dhuha

Secara umumnya, waktu mengerjakan solat sunat Dhuha bermula dari terbitnya matahari setinggi segalah sehinggalah matahari condong ke barat.

Menurut pengiraan berdasarkan formula falak pula, waktu solat sunat Dhuha bermula pada:

Waktu Syuruk (rujuk kalendar Islam di kawasan anda) + 1/3 (waktu Syuruk-waktu Subuh) = Waktu Dhuha

Misalnya:

Waktu masuk solat sunat Dhuha di Kuala Lumpur adalah pada pukul 7.32 pagi.

  • Waktu Syuruk: 7.05pagi
  • Waktu Subuh: 5.45pagi

=7.05 pagi + 1/3(7.05-5.45)

=7.05 pagi+ 1/3 (1 jam 20 minit)

=7.05 pagi + 27 minit

=7.32 pagi

Waktu akhir mengerjakan solat sunat Dhuha pula adalah kira-kira 9 minit sebelum masuknya waktu solat Zohor.

Niat Solat Dhuha

niat solat sunat dhuha

Niat sholat dhuha dalam rumi : Ushollii sunnaatadluhaa rak’ataini mustaqbil alqiblati adaa-a llillaahi ta’aala.”

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

Cara mengerjakan solat sunat Dhuha (jika 2 rakaat)

  1. Niat solat sunat Dhuha
  2. Takbirotul Ihram
  3. Membaca Doa Iftitah (Sunnah)
  4. Membaca Surah Al-Fatihah
  5. Membaca Surah Ad-Dhuha
  6. Ruku’ dengan tuma’ninah
  7. I’tidal dengan tuma’ninah
  8. Sujud dengan tuma’ninah
  9. Duduk di antara dua sujud dengan tuma’ninah
  10. Sujud kedua dengan tuma’ninah
  11. Berdiri lagi untuk menunaikan rakaat kedua
  12. Membaca Surah Al-Fatihah
  13. Membaca Surah As-Syams
  14. Ruku’ dengan tuma’ninah
  15. I’tidal dengan tuma’ninah
  16. Sujud dengan tuma’ninah
  17. Duduk di antara dua sujud dengan tuma’ninah
  18. Sujud kedua dengan tuma’ninah
  19. Tasyahud Akhir dengan tuma’ninah
  20. Salam
  21. Membaca doa sholat dhuha

Cara mengerjakan Solat sunat Dhuha (lebih daripada 2 rakaat)

  1. Pada solat yang pertama: untuk dua rakaat yang pertama, baca Surah As-Syams dan Surah Ad-Dhua
  2. Pada solat kedua dan seterusnya. Baca Surah Al-Kafiruun dan Al-Ikhlas

Kesemua surah yang dinyatakan di atas, hanyalah anjuran ulama’ yang digalakkan untuk membacanya sewaktu mengerjakan solat sunat Dhuha.

Boleh juga membaca apa-apa surah yang diingini kerana tiada surah khusus yang digariskan oleh Rasullah SAW.

Doa Selepas Sholat Dhuha

Memandangkan solat sunat Dhuha dikatakan dapat membantu membuka pintu-pintu rezeki dan memudahkan urusan seharian, berikut adalah antara doa yang digalakkan membacanya selepas solat.

doa solat sunat dhuha

Maksudnya:

Ya Allah, Sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu, Kecantikannya KecantikanMu, Keindahannya KeindahanMu, Kekuatannya KekuatanMu, Kekuasaanya KekuasanMu, Perlindunganya PerlindunganMu.

Ya Allah,

Jika rezekiku masih di langit, turunkanlah

Jika di bumi, keluarkanlah

Jika sukar, permudahkanlah

Jika haram, sucikanlah

Jika jauh, dekatkan

Berkat waktu Dhuha

KecantikanMu, keindahanMu, KekuatanMu, KekuasaanMu

Limpahkan kepadaku segala yng Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh

Kelebihan solat Dhuha

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasullah SAW pernah bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan solat sunat Dhuha dengan istiqamah, nescaya akan diampuni dosanya oleh Allah sekali pun dosa itu sebanyak buih di lautan.

Rasullah SAW juga pernah bersabda:

“Bahawasanya di surge ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Mala apabila tiba hari kiamat kelak, berserulah (Malaikat) penyeru ‘Makanakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah’. (HR at-Tabrani)

“Solat dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan”

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya, nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih di lautan” (riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Bagi mereka yang bekerja dan ingin mengerjakan solat sunat Dhuha, digalakkan mengambil wuduk di rumah terlebih dahulu.

Amalkan sentiasa dalam keadaan berwuduk sepanjang perjalanan ke tempat kerja. In shaa Allah akan mendapat perlindungan Allah SWT semasa dalam perjalanan.

Sebaik sampai ke tempat kerja, terus mengerjakan solat sunat Dhuha.

Untuk lebih penguasaan kepada doa solat Dhuha ini, bolehlah rujuk kepada video kumpulan nasyid UNIC doa Dhuha beserta lirik. In shaa Allah, anda pasti dapat mudah mengingati doa sunat Dhuha ini.

Leave a Comment